Peringkat Proses Pelaksanaan


        Perkara pertama dalam peringkat proses yang perlu dilakukan oleh pemimpin instruktional ialah pengumpulan maklumat. Sepanjang proses pelaksanaan pemimpin instruktional perlu membimbing dan menilai tugasan pelajar serta dapat memberikan maklum balas secara lisan. Pada peringkat ini maklumat boleh diperoleh dengan membuat analisis terhadap aktiviti yang telah dilaksanakan. Senarai aktiviti  untuk dianalisis juga perlu dirancang terlebih dahulu agar aktiviti yang disediakan adalah pelbagai, sesuai dan menarik. Beberapa contoh aktiviti yang boleh diterapkan untuk dianalisis adalah seperti berikut:

  1.                        Pengurusan grafik
  2.                        Peta minda
  3.                        Lembaran kerja
  4.                        Jadual

        
Dalam peringkat proses, pendekatan konstruktivisme, situasi dan koporatif serta pendekatan yang lain boleh digunakan dalam Model KELISA untuk pengajaran kemahiran lisan. Melalui pendekatan-pendekatan ini para pelajar dapat mengaplikasikan kebolehan dan pengetahuan mereka secara koperatif dalam pengajaran kemahiran lisan dengan lebih berkesan. Selain itu para pelajar juga dapat membina sesuatu bentuk yang baru berdasarkan pendekatan  berpusatkan guru dan berpusatkan pelajar.
        
      Berdasarkan pendekatan situasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang diperkenalkan oleh Mackey (1965), antara lain menegaskan bahawa pernyataan lisan itu merangkumi semua unsur kefahaman mendengar dan penggunaan unsur-unsur bunyi bahasa yang betul dalam pola, nada dan intonasi tertentu. Pernyataan lisan ini juga meliputi aspek pemilihan kata-kata dan unsur-unsur infleksi yang disusun dengan betul supaya tergambar juga makna-makna yang betul mengenainya. 

       Pendekatan situasi yang berlandaskan teori struktural dan teori pembelajaran behaviouris beranggapan bahawa untuk membolehkan seseorang itu menguasai kemahiran lisan (khasnya bertutur), maka beberapa kemahiran asas yang lain perlu dikuasai terlebih dahulu. Antara lain, menguasai kemahiran membuat tanggapan, mengingat, membunyikan perkataan dan juga aspek struktur bahasa berkenaan. Hal ini demikian kerana melaluinya aspek penggunaan dan penguasaan bahasa secara lisan dapat diperbaik dari semasa ke semasa (Mackey, 1965).

        Manakala Pendekatan komunikatif pula cuba mengatasi masalah pengajaran bertutur yang terdapat dalam pendekatan situasi.   Melalui pendekatan ini, penguasaan kemahiran bertutur bukan sahaja meliputi penguasaan kemahiran kecil untuk menanggap, mengingati, menyebut sistem bunyi dan struktur dalam sesuatu bahasa, tetapi kemahiran ini juga merangkumi kebolehan untuk menggunakan unsur-unsur tersebut dengan tepat dan sempurna dalam sesuatu interaksi bahasa.  Hal Ini bermakna, pendekatan komunikatif menegaskan bahawa kemahiran bertutur merangkumi kecekapan menggunakan unsur-unsur bahasa yang terkandung dalam kemahiran bertutur tersebut serta kecekapan berkomunikasi dalam sesuatu interaksi atau komunikasi bahasa.

        Berasaskan pembelajaran koperatif pula, didapati bahawa pelajar yang berpencapaian tinggi boleh mencapai tahap kefahaman yang lebih tinggi dalam proses membantu pelajar yang berpencapaian rendah. Pembelajaran koperatif  juga dianggap boleh mewujudkan motivasi dalam kalangan pelajar khususnya mereka yang berpencapaian rendah. Selain itu, mereka yang terlibat dalam pembelajaran koperatif menunjukkan konsep kendiri yang tinggi.

        Berdasarkan model KELISA iaitu kemahiran lisan (mendengar dan bertutur) dapat diajar melalui tiga pendekatan, iaitu pendekatan situasi yang mementingkan penyebutan unsur-unsur bunyi bahasa atau kecekapan bahasa (tatabahasa); Pendekatan komunikatif pula mengutamakan kecekapan komunikatif, iaitu ketepatan penggunaan bahasa mengikut konteks penggunaannya dalam interaksi pertuturan. Manakala pendekatan koporatif  berlandaskan hubungan kerjasama dalam melaksanakan sesuatu aktiviti.


Selain itu pelbagai kaedah pengajaran juga boleh digunakan berdasarkan sama ada pendekatan situasi, pendekatan koperatif mahupun pendekatan komunikatif. Kaedah pengajaran kemahiran berbahasa memerlukan guru merancang prosedur atau cara untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran dalam bilik darjah. Apabila seseorang guru memilih dan menentukan langkah-langkah pengajaran, cara penyampaian isi kandungan pelajaran dan bahan bantu mengajar yang sesuai, bermakna guru tersebut sedang memilih dan menentukan teknik pengajaran yang paling sesuai. 

No comments: