Teori konstruktivisme menghuraikan pelajar
berinteraksi dengan persekitaran dan membina pengetahuannya sendiri. Konstruktivisme
melihat perkembangan ialah hasil daripada tindakan pengalaman dengan cara
manusia mentafsirkan, mengenal pasti atau mengubahsuai pengalaman.
Konstruktivisme ialah pendekatan
pembelajaran yang menyediakan peluang
kepada murid untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan
mewujudkan jaringan atau hubungan (dalam minda) antara idea dan fakta yang sedang dipelajari (Borich
& Tombari, 1997).
Menurut pendapat McBrien & Brandt, dan M. Briner yang dipetik oleh
Pusat Perkembangan kurikulum (2001) Konstruktivisme ialah satu pendekatan
pengajaran berdasarkan penyelidikan dengan membina pengetahuan baharu atau
konsep baharu secara aktif. Para pelajar dapat membina sesuatu atau pengetahuan
mereka dengan menguji idea baharu dan idea sedia ada.
Oleh itu, konstruktivisme juga dikenali
sebagai fahaman ”binaan”. Dari
kenyataan-kenyataan tersebut, jelaslah bahawa mengikut teori pembelajaran
konstruktivisme, pelajar perlu memainkan peranan aktif dalam memahami dan
memberi makna kepada maklumat atau pengetahuan yang dipelajari. Para pelajar
dapat membina sesuatu bentuk yang baru berdasarkan penggunaan kaedah dan teknik
yang berkesan. Teknik boleh dilihat sebagai satu cara khusus utuk membantu dan
menjayakan sesuatu kaedah pengajaran. Model ini amat sesuai digandingkan dengan
pelbagai teknik pendidikan yang lain untuk tujuan pengajaran kemahiran lisan
bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment